MARANG, 26 November- Aset udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia digerakkan bagi melancarkan kerja-kerja menyelamat sepanjang musim Monsun Timur Laut tahun ini.
Helikopter jenis AW189 yang ditempatkan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang akan digunakan di negeri-negeri Pantai Timur sekiranya berlaku bencana banjir.
Menurut Pengarah Bahagian Udara JBPM Datuk Norazam Khamis, 58 anggota Pasukan Gerak Cepat juga sedia digerakkan bersama peralatan dan logistik lain bagi membantu proses pemindahan penduduk terjejas banjir di kawasan yang sukar diakses.
Anggota akan dibekalkan dengan maklumat cuaca, keadaan luruan angin serta kenaikan paras air laut bagi meninjau kemungkinan berlaku banjir di lokasi tumpuan.
Berhubung penambahan pesawat, beliau berkata ia bergantung kepada situasi semasa banjir.
"Jika hujan berterusan, pemantauan itu lebih sesuai menggunakan dron.
"Pada asasnya kita akan menggerakkan unit dron bahagian udara dan di peringkat negeri untuk sama-sama membuat pemantauan banjir terutama di kawasan-kawasan pedalaman ataupun kawasan yang kita telah kenal pasti", katanya.
Beliau terdahulu melaksanakan tinjauan udara ke lokasi banjir di Dungun dan Kemaman.
Bantuan udara akan digunakan untuk pengagihan bekalan makanan di kawasan pedalaman dan pemindahan pesakit terjejas banjir.