fb fb fb fb fb

KPM komited tangani isu kerugian sekolah akibat banjir

Fadhlina Sidek di SMK Seri Gunong di Alor Setar pada lawatan kerja beliau ke sekolah-sekolah terjejas banjir di Kedah hari ini/RTM

ALOR SETAR, 8 Disember- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk menangani isu kerugian sekolah akibat banjir dan kini giat mengumpul maklumat daripada sekolah-sekolah terlibat bagi mendapatkan anggaran kerugian itu, kata Menterinya Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata laporan lengkap daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) amat diperlukan bagi memastikan isu kerosakan yang dialami dapat diatasi segera.

"Kita sudah ada unjuran awal (anggaran kerugian) tetapi ada sekolah yang terjejas lebih teruk berbanding yang lain. Oleh itu, angka sebenar dan laporan lengkap diperlukan untuk tindakan lanjut.

"Peruntukan bencana akan disediakan dan boleh dipohon segera oleh pihak sekolah terutama kerosakan yang dialami melumpuhkan operasi institusi atau menjejaskan pendidikan pelajar," katanya.

Beliau ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong di sini pada lawatan kerja beliau ke sekolah-sekolah terjejas banjir di Kedah hari ini.  Turut hadir, Pengarah JPN Kedah, Ismail Othman.

Selain SMK Seri Gunong, Fadhlina turut meninjau keadaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Banai, Jitra, SK Sungai Baru dan SMK Agama Kedah.

Menurutnya beliau sebanyak 19 sekolah di Kedah dilaporkan terjejas akibat banjir, namun kebanyakannya sudah kembali beroperasi seperti biasa dan beberapa sekolah masih melaksanakan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) kerana peralatan serta kemudahan rosak akibat banjir.

Sementara itu, Fadhlina berpuas hati dengan persiapan KPM setakat ini termasuk pelaksanaan Ops Payung bagi memastikan kelancaran Ujian Amali Sains untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual berlangsung ketika negara dijangka dilanda gelombang kedua banjir.

SITI AISHAH MD ISA