fb fb fb fb fb

KPM komited tambah baik PBD

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL, 3 Februari - Kaedah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sentiasa ditambah baik bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan pentaksiran itu, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata proses memantapkan PBD berjalan dari semasa ke semasa dan kaedah itu sentiasa diperbaiki termasuk dengan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dan ibu bapa.

"Malah kita di KPM juga merujuk pada pakar serta dalam masa sama memastikan guru-guru dilatih dan terlibat dengan latihan pengukuhan.

"Ini untuk pastikan mereka ini (guru-guru) diangkat dari segi prestasi, kompetensi dan kecekapan mereka untuk membuat pentaksiran serta libat urus dengan ibu bapa untuk memahamkan mereka bagaimana pentaksiran itu dilaksanakan," Fadhlina bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Sesi Libat Urus Bersama Lembaga Pengelola Sekolah Pulau Pinang (LPS) dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di sini.

Sebelum ini, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad dilaporkan berkata PBD ialah langkah yang baik tetapi jika dilaksanakan dengan tidak tepat maka akan berlaku kekeliruan dalam kalangan guru dan ibu bapa.

Anuar berkata guru-guru juga tidak dapat melaksanakan PBD dengan berkesan disebabkan jumlah murid yang terlalu ramai di dalam kelas.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata penting untuk memahamkan semua pihak khususnya ibu bapa bagaimana pentaksiran itu dilakukan oleh para guru di sekolah.

PBD katanya ialah kaedah terbaik untuk memastikan proses menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial murid dijalankan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sementara itu, Fadhlina berkata KPM giat menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di semua sekolah bermula 10 Januari lepas dan dijangka selesai pada 11 Feb ini.

"Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM788.17 juta BAP kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara," katanya.

TETITIA YUSOFF