fb fb fb fb fb

Budak lelaki ditemukan lemas di Kampung Tabanak

FOTO FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba Malaysia Official)

LAHAD DATU, 3 Februari- Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas oleh orang awam di sungai dekat Kampung Tabanak, sini, Sabah, pagi tadi.

Mangsa, 11, dilaporkan hilang selepas dia dan adiknya serta beberapa rakan bermandi-mandi di sungai terbabit semalam.

Difahamkan, adiknya juga nyaris lemas namun berjaya diselamatkan orang awam, manakala mangsa hilang.

Sehubungan itu, pihak bomba dihubungi mengenai kejadian pada pukul 4.39 petang semalam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera, kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta bot penyelamat.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Mayat mangsa kemudian ditemukan pada 11.30 pagi tadi oleh orang awam di kedudukan 30 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan pukul 12.00 tengah hari.

SITI AISHAH BINTI MD ISA