fb fb fb fb fb

KPM, KKR kerjasama pantau sekolah daif

KLANG, 31 Mac- Kementerian Pendidikan akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya dalam usaha memantau sekolah yang disenaraikan sebagai daif dan tidak selamat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata setakat ini sebanyak 830 sekolah disenaraikan sebagai bangunan daif antara skala enam hingga tujuh terutama di Sabah dan Sarawak.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya berhubung kejadian bumbung runtuh membabitkan sebuah blok di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Jaya semalam.

"Kerana ada banyak aspek struktur bangunan terutama struktur bangunan yang tidak selamat diduduki oleh murid-murid. Jadi skala 6 dan skala 7 memang adalah mengancam murid-murid, jadi ini mesti kita perhatikan," kata Lim selepas merasmikan Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam Tahun 2023 di sini.

Pameran berkenaan yang julung kali diadakan melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dengan kehadiran hampir 2,000 pelajar, pameran yang berlangsung sehari ini menjadi paltform kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mengetahui lebih dekat mengenai tawaran dan peluang melanjutkan pelajaran .

Siri 1 Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam Tahun 2023 akan diteruskan di tiga lagi lokasi iaitu Pulau Pinang, Perak dan Johor.

(Lim selepas merasmikan Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam Tahun 2023)

 

Media Baharu