AYER KEROH, 12 Oktober – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan perlindungan serta sokongan emosi kepada murid yang terlibat dalam kes rogol di Melaka baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak polis, manakala mangsa kini sedang menerima rawatan di hospital dan dibantu melalui sokongan psikososial.
“Kita putuskan bahawa tindakan undang-undang akan diberikan sepenuhnya kepada pihak polis, manakala KPM akan menguruskan hal berkaitan disiplin, ekosistem sekolah, serta sokongan emosi kepada murid dan guru.
“Setakat ini, sokongan psikososial sedang diberikan, dan kaunselor akan turun padang bagi menyalurkan bantuan sepenuhnya kepada warga sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka di Bukit Beruang, di sini hari ini.
Sementara itu, empat suspek yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut pada 3 November depan.
Kesemua pelajar tingkatan lima berkenaan kini ditahan reman bermula 11 Oktober hingga 16 Oktober depan bagi membantu siasatan lanjut.