fb fb fb fb fb

KPM fokus tangani Isu keciciran pelajar, tingkatkan enrolmen pelajar sekolah menengah

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

SIK, 20 Januari – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadikan isu keciciran pelajar sebagai fokus utama tahun ini dengan mengambil langkah proaktif untuk menanganinya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pengurusan tertinggi KPM akan melawat 143 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara bagi meneliti isu dan cabaran berkaitan masalah keciciran pelajar.

Beliau memaklumkan bahawa enrolmen di peringkat sekolah rendah kini berada pada tahap 99 peratus berikutan dasar pendidikan wajib di peringkat tersebut.

Bagaimanapun, enrolmen sekolah menengah kini sekitar 93 peratus, dan masih perlu ditingkatkan bagi mencapai sasaran enrolmen sebanyak 95 peratus.

“Yang paling penting adalah memastikan kehadiran ke sekolah.

"Proses transisi dari darjah enam ke tingkatan satu juga perlu diberi perhatian agar tiada pelajar tercicir.

"Selain itu, KPM menyediakan 18 jenis bantuan kewangan untuk murid daripada keluarga B40, termasuk Bantuan Awal Persekolahan yang telah diagihkan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Danglau, di sini.

Fadhlina juga menekankan pentingnya usaha untuk mengatasi isu penguasaan asas membaca, menulis, dan mengira (3M), yang turut menjadi agenda utama KPM tahun ini.

Sempena lawatan tersebut, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk kegunaan sekolah, termasuk penyelenggaraan bangunan kayu bersejarah sekolah itu yang masih digunakan sejak 1975.

Dalam pada itu,beliau turut memuji inisiatif PPD Sik yang memperkenalkan papan pemuka intervensi, yang dilihat berkesan dalam mengesan isu keciciran pelajar dari peringkat awal, terutama Tingkatan Satu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD