fb fb fb fb fb

KPM fokus reformasi pendidikan tangani isu keciciran 3M

Fadhlina Sidek

KOTA KINABALU, 16 September- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang merangka penambahbaikan sistem pendidikan negara termasuk melalui enam agenda reformasi utama.

Menterinya Fadhlina Sidek menyatakan ia melibatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), digital, pemartabatan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, serta peluasan pendidikan prasekolah.

"Kita juga sedang menilai persiapan untuk pelan pembangunan pendidikan baharu kerana pelan pembangunan pendidikan sedia ada berakhir pada 2025, begitu juga pelaksanaan kurikulum baharu yang akan berlangsung pada 2027. Jadi, saya fikir proses penambahbaikan dan reformasi pendidikan itu sedang berjalan," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan rasmi ke Sekolah Integriti Kota Kinabalu di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada gesaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyemak dan merombak dasar peperiksaan bagi pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3 susulan isu keciciran dalam penguasaan 3M (membaca, menulis, mengira).

Fadhlina turut memaklumkan bahawa seramai 122,000 pelajar Darjah 1 dikenal pasti belum menguasai 3M dan ia sedang ditangani melalui beberapa program signifikan yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

SITI AISHAH MD ISA