fb fb fb fb fb

Kerajaan Perpaduan terbuka runding MoU peruntukan pembangkang - Fahmi

Foto RTM Sabah

KOTA KINABALU, 16 September- Kerajaan Perpaduan terbuka sekiranya pihak pembangkang ingin meneruskan rundingan mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerajaan kini sedang menunggu cadangan dan maklum balas daripada pihak pembangkang, manakala kenyataan penuh berserta draf MoU tersebut akan dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dalam masa terdekat.

"Sekarang ini kita belum dapat hitam putih daripada pihak pembangkang, sama ada mereka berhasrat untuk meneruskan ataupun tidak, sama ada mereka ada cadangan balas ataupun tidak.

"Kalau dahulu Pakatan Harapan, kami banyak menyediakan cadangan. Kali ini kita tunggu sama ada pihak pembangkang ada menyediakan sebarang cadangan ataupun tidak," katanya kepada pemberita di sini.

Selain itu, beliau berpandangan bahawa pihak pembangkang perlu bersifat 'bona fide' dalam perundingan bagi mencapai satu persefahaman kukuh.

Setakat ini, belum ada perbincangan secara khusus yang diadakan di peringkat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, mengenai perkara tersebut.

Pembangkang baru-baru ini sebulat suara menolak dua draf MoU mengenai peruntukan pembangkang yang dikemukakan Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Fahmi berkata Hari Malaysia yang disambut di Sabah hari ini merupakan hari yang sangat istimewa.

Fahmi berkata, upacara menandatangani Buku Khas yang ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang disimpan sebagai arkib negeri itu merupakan momen yang istimewa.

"Selain daripada ucapan Perdana Menteri dan juga Ketua Menteri Sabah, orang ramai akan dihiburkan dengan persembahan dron dan bunga api pada penghujung acara," kata Fahmi dalam Segmen Bah Ngam Lah Tu di Studio Mini RTM Sabah bersempena sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Pengarah Penyiaran Sabah, Salmah Hashim.

Jelasnya, semangat patriotisme perlu ditanam dalam hati setiap rakyat Malaysia tanpa mengira waktu.

Dijangkakan lebih 30,000 pengunjung hadir ke Padang Merdeka bersempena sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung malam ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM