KUALA LUMPUR, 27 Jun - Pembangunan latihan kompetensi guru serta kebolehpasaran individu dalam pekerjaan antara fokus Kementerian Pendidikan (KPM) dalam merangka pelan pendidikan baharu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata penilaian terhadap pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 kini sedang diteliti bagi melihat keberkesanan dan penambahbaikan lain.
"KPM akan mencadangkan kerangka pendidikan menyeluruh yang akan mengambil kira bukan sahaja faktor global tetapi juga dasar dalam pembentukan karakter warga negara.KPM kini sedang menilai pencapaian pelan ini dan juga telah memulakan perancangan, libat urus, sindikasi dengan pemegang taruh dalam membangunkan pelan pendidikan baharu.
"KPM juga menubuhkan sebuah pasukan petugas khas yang akan menerajui perancangan, hala tuju dan pembangunan pelan pendidikan baharu," kata Fadhlina pada sesi soal jawab di Dewan Negara.
Setakat ini, Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 berjaya meningkatkan keterlibatan di peringkat menengah atas daripada 77.96 peratus kepada 89.97 peratus pada 2022.
Manakala, penglibatan murid dalam Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut mencatat peningkatan kepada 6.66 peratus dalam tempoh sama.