(Foto BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 27 Jun- Status pulau bebas cukai di Wilayah Persekutuan Labuan kekal dan tidak pernah ditarik oleh kerajaan.
Bagaimanapun, penarikan cukai hanya dibuat terhadap beberapa barangan seperti rokok dan produk tembakau yang dibawa masuk ke pulau bebas cukai itu.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong, ketika ini status pulau bebas cukai masih terpakai di Wilayah Persekutuan Labuan.
"Hanya pada tahun 2021 kerajaan mengambil langkah tegas dengan menjadikan rokok dan produk tembakau barangan bercukai yang dibawa masuk ke pulau bebas cukai bermula 1 Julai 2021.
"Langkah ini membantu menangani ketirisan hasil cukai yang besar akibat penyeludupan rokok tidak sah ke dalam negara kita. "Status bebas cukai turut dimanipulasikan pihak tidak bertanggungjawab.
"Status bebas cukai masih terpakai bagi semua pulau bebas cukai di Labuan, Langkawi, Pangkor dan kemudahan bebas cukai masih diberikan kepada pelawat tempatan dan asing," katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Senator Tan Seri Panglima Anifah Aman di Dewan Negara di sini.
Beliau turut menafikan pengurangan jumlah pelancong ke Labuan adalah berikutan penarikan cukai rokok dan barangan tembakau, malah menyifatkan ia susulan pandemik yang menyebabkan pengunjung sukar melancong ke pulau tersebut.
Tambahnya, susulan penarikan cukai rokok dan barangan tembakau pada 2021, ekonomi di pulau bebas cukai itu terjejas kerana kekurangan jumlah barang-barang bebas cukai.
(Foto BERNAMA)