KPM perkukuh kesiapsiagaan sekolah terima murid enam tahun

Datuk Dr Mohd Azam Ahmad/ RTM

PUTRAJAYA, 5 November- Kementerian Pendidikan (KPM) sudah membuat persiapan rapi bagi menerima kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu pada Januari 2027, dengan kira-kira 73,000 permohonan diterima setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPM mulakan persiapan rapi sejak tahun lepas, termasuk pendaftaran dan semakan kemudahan serta kapasiti sekolah.
  • Kenal pasti negeri dan daerah berkepadatan tinggi untuk merancang penempatan, elakkan kesesakan dan sediakan ruang pembangunan baharu.
  • Bilik darjah tambahan melalui IBS dan modular siap dalam tiga hingga empat bulan; pertimbangkan adik-beradik, rayuan dan dua sesi jika perlu.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata persiapan itu dimulakan sejak tahun lepas menerusi perbincangan, pembukaan pendaftaran serta penelitian kemudahan dan kapasiti sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata, KPM turut mengenal pasti negeri, daerah dan kawasan yang mencatatkan jumlah permohonan tertinggi bagi merancang penempatan murid serta mengelakkan kesesakan di sekolah.

“Semua ini sudah diambil kira. Kita sudah kenal pasti kawasan yang memerlukan tambahan bilik darjah, termasuk lokasi yang mempunyai tanah atau ruang untuk pembangunan kemudahan baharu,” katanya.

Menurut beliau, bilik darjah tambahan boleh dibina menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan modular, yang membolehkan pembinaan disiapkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

Dalam pada itu, lebih 5,000 permohonan membabitkan murid yang mempunyai adik-beradik di sekolah sama turut dikenal pasti.

Penempatan di sekolah berkenaan boleh dipertimbangkan bagi membantu penyesuaian emosi murid serta memudahkan urusan ibu bapa.

Beliau berkata, ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan penempatan diberikan boleh mengemukakan rayuan, manakala KPM akan berusaha menyediakan penempatan di sekolah lain yang masih mempunyai kapasiti.

KPM juga mempertimbangkan pelaksanaan persekolahan dua sesi, iaitu pagi dan petang, sekiranya perlu bagi menampung pertambahan murid.

Datuk Dr Mohd Azam berkata perancangan penempatan mengambil kira kapasiti sekolah, kebajikan ibu bapa, jarak dari rumah serta lokasi sekolah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutupan Program Pembangunan Bakat Badminton Kebangsaan KPM-Perodua 2026 di IOI Sports Centre, di sini, hari ini.

Sebelum ini, KPM mengumumkan Kalendar Akademik Tahun 2027 akan bermula 4 Januari depan

Bagi sekolah di negeri Kumpulan A, sesi persekolahan sehingga 2 Disember 2027, manakala sekolah di negeri Kumpulan B pula sehingga 3 Disember 2027.

Kumpulan A membabitkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B merangkumi sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.