PORT DICKSON, 4 Ogos - Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi inisiatif merentas sempadan kementerian terus berusaha menangani isu kurang minat pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek Kementerian Sains dan Teknologi dan Inovasi (Mosti) bersama-sama KPM telah memberikan komitmen baik dalam mengangkat kembali bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Kita ambil itu sebagai satu cabaran untuk KPM dan sebenarnya kita telah pun gunakan pelan hala tuju STEM untuk KPM dan kita buat beberapa intervensi dan juga inisiatif khususnya dengan Mosti juga.
"Jadi Insya-Allah dari semasa ke semasa saya ingat hala tuju ini kita akan tubuhkan perlu banyakkan lagi penglibatan daripada input komuniti dan juga cara daripada ibu bapa khususnya untuk mendorong anak-anak dan STEM juga," kata Fadhlina, ketika ditemui media pada Program Pelancaran Gotong Royong Madani Peringkat Negeri Sembilan serta Sambutan Jubli Intan Hari Ulang Tahun Briged Pertama Infantri Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Si Rusa, di sini.
(Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengulas kenyataan Perdana Menteri
yang menggesa KPM dan Mosti untuk mencari pendekatan baharu
bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik./FOTO BERNAMA)