(FOTO FB Felda Plantation Management Sdn. Bhd)
SIK, 4 Ogos- Felda akan terus berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) hingga semua masalah pokok berkaitan agensi itu dan peneroka selesai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau sendiri akan memantau Felda dan akan menyerahkan agensi itu kepada kementerian lain selepas semua masalah, termasuk yang dihadapi peneroka, diselesaikan.
"Felda ini jasa Almarhum Tun Abdul Razak, saya nak tegaskan disini, setakat ini sebagai Perdana Menteri, Felda di bawah saya. Orang tanya 'pasaipa' tak bagi kepada orang lain, 'dak'..saya tahu masalah Felda, saya nak selesaikan beberapa masalah pokok Felda, kalau dah selesai saya akan bagi ,serah kepada menteri lain jaga.
“La ni Felda di bawah Perdana Menteri, sebabnya kerana masalah banyak dan saya tak mahu ambil sikit-sikit untuk selesaikan," katanya.
(Anwar ketika berucap merasmikan Karnival Segalanya Felda di Felda Teloi Timur, Sik, Kedah)
Beliau akan memberi mandat penuh kepada Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kerana beliau mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku melibatkan agensi itu.
“… dan saya beritahu dia, saya kata jalan saja, kalau ada masalah bagitahu saya dan insya-Allah, saya akan cuba bawa perubahan sedaya upaya,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Segalanya Felda di Felda Teloi Timur di sini, petang tadi.