fb fb fb fb fb

Permohonan kes Muhyiddin dibicarakan bersama 19 September depan

(Tan Sri Muhyiddin Yassin/ BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Pada 19 September ini ditetapkan untuk mendengar permohonan pendakwaan agar tujuh pertuduhan yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibicarakan secara bersama.

Ia melibatkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan dan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi turut menetapkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis 8 September ini dan pihak-pihak membalasnya pada 15 September.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu, kedua-dua pihak selesai memfailkan dokumen masing-masing.

Sementara itu, peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon Muhyiddin dikecualikan hadir pada prosiding pendengaran itu, namun Azura memutuskan tertuduh perlu hadir pada tarikh berkenaan.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen dengan enam pertuduhan iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Pada 13 Mac pula, dia didakwa atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta di Petaling Jaya.


(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

Media Baharu