fb fb fb fb fb

Sasar 6,400 lokasi Program Jualan Rahmah - Fuziah

KOTA BHARU, 4 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan sebanyak 6,400 lokasi Program Jualan Rahmah di seluruh negara hingga hujung tahun ini.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata ia melibatkan 640 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dengan kekerapan dua kali setiap DUN.

Beliau berkata, program itu dilakukan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta baru-baru ini.

Katanya, dengan peruntukan itu ia menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri dalam meringankan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya lagi, sejak Program Jualan Rahmah mula diperkenalkan pada awal Januari lalu, sebanyak 1,193 lokasi terlibat dengan Jualan Rahmah di seluruh negara hingga hari ini.

"Jadi 640 DUN seluruh negara sasarannya 6,400 dua kali setahun, Insya-Allah kita cari 6,400 lokasi seluruh negara hingga hujung tahun," kata Fuziah, di sini.

(Timbalan Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh
bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Rahmah Peringkat Kelantan
di Pasaraya Mydin Tunjong, Kota Bharu)

Terdahulu Fuziah turut menyampaikan Bakul Rahmah yang terdiri daripada barangan keperluan asas kepada penerima kumpulan B40.

Media Baharu