(EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah/ BERNAMA)
IPOH, 4 Ogos- Perak mengambil langkah berjaga-jaga susulan pengesanan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di beberapa daerah di negeri berkenaan.
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah seramai 45 murid daripada sembilan sekolah rendah di negeri itu dilaporkan dijangkiti HFMD sejak bulan lalu.
Jelas beliau, beberapa kelas pra sekolah dan sekolah rendah diarah tutup oleh Pejabat Kesihatan Daerah selama sepuluh hari bagi membendung penularan penyakit tersebut.
"Ianya bukan melibatkan bilangan yang agak ramai cuma HFMD ini dia adalah satu penyakit yang berjangkit yang perlu dibuat kawalan lebih awal. Mungkin pihak sekolah perlu memastikan pelajar yang ada di sekolah ini memang tidak ada gejala-gejala HFMD itu kerana kalau ada ia akan mudah berjangkit kerana ia adalah virus jenis yang mudah merebak," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Perak 2023 di Ipoh Perak.
Tambah beliau, daerah Kinta Selatan merekodkan kes terbanyak dengan 18 kes diikuti Kinta Utara (9), Kerian (8), Muallim (6) serta Larut Matang dan Selama pula empat kes.
Ujarnya, penularan HFMD di negeri itu belum berada di tahap yang membimbangkan dan pihak sekolah telah mengambil langkah kawalan sewajarnya supaya ia tidak berleluasa.
(FOTO HIASAN)
Dalam perkembangan lain, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak masih menunggu hasil siasatan polis sebelum mengambil tindakan terhadap pelajar sebuah sekolah menengah di Gunung Rapat yang terlibat dalam kes buli, bulan lepas.
Khairudin berkata sekiranya terdapat perkara menyalahi undang-undang dalam kes berkenaan, tindakan berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan diambil terhadap pelajar terbabit.
Katanya ketika ini kedua-dua mereka iaitu pelajar Tingkatan Tiga yang mengalami kecederaan akibat dibuli seorang lagi pelajar Tingkatan Lima sekolah itu dibenarkan bersekolah seperti biasa.
Pada 26 Julai lalu, Khairudin dilaporkan pelajar lelaki terlibat merupakan atlet sepak takraw dibuli dengan mangsa ditendang dan dipijak oleh seorang pelajar senior.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan dilapor berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada 24 Julai lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.