GEORGE TOWN, 4 Ogos - Tiga lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di dua kondominium mewah dekat Jalan Sultan Azlan Shah dan Persiaran Gurney, Selasa lalu.
Kesemua mereka dipercayai terlibat dalam satu sindiket penipuan dalam talian yang berpangkalan di luar negara.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Soffian Santong berkata kesemua suspek yang berusia 26 tahun itu disyaki menerima arahan daripada 'dalang' sindiket dan arahan diberikan menerusi aplikasi Telegram dan dipercayai aktif sejak enam bulan lalu.
Menurut beliau, mereka berperanan mengumpul kad-kad ATM milik keldai akaun bagi tujuan pemindahan wang hasil dari kegiatan haram itu.
Menerusinya, suspek menerima bayaran upah antara RM2,500 hingga RM6,000 sebulan termasuk komisen 0.3 peratus untuk setiap transaksi yang dilakukan.
"Hasil siasatan awal mengesyaki suspek merupakan orang tengah ada dalang, bukan berada di negara ini akan menghubungi untuk hantar bungkusan kepada mereka. Dan dalam bungkusan ini akan disertakan kad-kad ATM. Jadi suspek dalang ini akan arah ketiga-tiga ini ditangkap untuk menyediakan perbankan dalam talian," kata Soffian.
Antara penipuan yang dijalankan membabitkan tawaran kerja, perkhidmatan seks dan pelaburan tidak wujud.
Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 24 buah telefon bimbit, 35 keping kad ATM pelbagai bank, 40 keping kad prabayar pelbagai syarikat telekomunikasi, dua unit komputer riba, lima kad pengenalan disyaki palsu, 10 unit 'secure sign token' dan slip transaksi deposit bank tempatan.
Kesemua kini direman empat hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan serta Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990(pindaan 2007).
(Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong bercakap
dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut)