(Foto hiasan)
SHAH ALAM, 3 Ogos- Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersetuju membatalkan tiga projek sakit melalui Langkah Penstrukturan Projek Sakit Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ketiga-tiga projek tersebut tidak berdaya maju untuk diteruskan.
Tiga projek berkenaan adalah Projek Perumahan Makmur Karak Setia, Bentong, Pahang; Residensi Lanar, Seremban, Negeri Sembilan dan Taman Nusa Idaman, Kuala Ping, Terengganu, Fasa 1 dan 2.
"Kita juga nak berlaku adil kepada pembeli, kalau teruskan ia tidak baiklah.
"Sebagai contoh, Perumahan Makmur Karak Setia di Bentong, Pahang. Awalnya ia tiada masalah tetapi bila berlaku banjir besar, baru-baru ini, ia berlaku perubahan ketara. Contohnya, ban yang pemisah dengan sungai berlaku kerosakan agak besar dan tapak pembinaan juga antara yang terkesan dengan banjir tersebut.
"Jadi tidak sesuai untuk kita bina (semula) ketika ini, selagi mana isu ban dan sebagainya diselesaikan terlebih dahulu.
"Kalau siap rumah pun, tidak baiklah dalam keadaan itu," katanya dalam sidang media di sini.
Akmal Nasrullah berkata, SPNB telah mengadakan rundingan dengan pembeli sebelum membatalkan projek berkenaan dan hampir kesemua bersetuju membatalkan pembelian masing-masing.
Setakat akhir Jun lepas, terdapat 108 projek lewat dan 459 projek sakit, manakala 114 projek disahkan terbengkalai.
Sementara itu, 178 projek perumahan swasta lewat dan sakit berjaya dipulihkan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini membabitkan 20,926 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM16.75 bilion.
(Akmal Nasrullah Mohd Nasir)