PUTRAJAYA, 16 November- Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mensasarkan sebanyak 20 projek daripada 111 projek terbengkalai dapat diselesaikan pada tahun hadapan.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, 16 daripada projek terbengkalai tersebut telah dikenal pasti lokasinya membabitkan negeri Terengganu, Kelantan, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.
"Dalam usaha kita menumpukan kepada projek terbelangkalai melalui inisiatif belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan RM20 juta (dana tambahan) untuk kita menyelesaikan projek terbengkalai.
"Ini telah kita kenal pasti dan proses itu sudah bermula iaitu untuk menyelesaikan 16 projek terbengkalai bagi tahun 2024 yang membabitkan dana pembangunan daripada kerajaan.
"Tetapi pada masa sama melalui hasil seminar hari ini bila kita hendak kenal pasti pemaju atau kontraktor penyelamat, kita harapkan ada beberapa lagi projek terbengkalai sebenarnya kita boleh selesaikan tahun depan," katanya kepada pemberita pada sidang media Seminar Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai 2023 di sini.
Tambah beliau, KPKT akan meneruskan komitmennya untuk menyelamatkan projek sakit sebelum menjadi lebih parah dan jatuh kepada kategori terbengkalai.
Sehingga September 2023, KPKT berjaya memulihkan sebanyak 266 projek perumahan swasta terbengkalai yang melibatkan sebanyak 67,773 unit rumah serta 46,229 pembeli.