fb fb fb fb fb

KPKT lulus 1,613 permohonan moratorium pembiaya LPPSA

KUALA LUMPUR, 25 Julai - Sebanyak 1,613 permohonan Skim Bantuan Khas penangguhan bayaran balik ansuran bulanan selama enam bulan kepada peminjam Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) telah diluluskan setakat 5 Julai 2022.

Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, dalam tempoh yang sama juga, LPPSA telah menerima 1,683 permohonan.

"Atas keprihatinan tersebut, KPKT dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) telah memperkenalkan Skim Bantuan Khas iaitu penangguhan bayaran balik ansuran bulanan selama enam bulan kepada peminjam LPPSA yang layak.

Permohonan untuk mendapatkan Skim Bantuan Khas ini dibuka mulai 4 Februari 2022 sehingga 31 Disember 2022 melalui portal rasmi LPPSA," jelas Ismail menjawab pertanyaan wakil Beaufort, Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Sementara itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti pemaju-pemaju yang mempunyai keupayaan untuk mengambil alih memulihkan projek-projek perumahan terbengkalai di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, berkata pemulihan projek-projek terbengkalai ini terutamanya melibatkan projek perumahan kategori kos rendah dan kos sederhana melalui peruntukan yang disediakan kerajaan.

"Suka saya maklumkan bahawa kita ada bilik gerakan bagi tujuan pemantauan projek perumahan swasta untuk kita cari jalan penyelesaian. Kita dah menyenarai pendek projek sakit yang boleh dipulihkan serta menggariskan langkah pemulihan dan penyelesaian terbaik bagi isu-isu berkaitan projek perumahan sakit dan terbengkalai di seluruh negara," tambah Ismail lagi.

Mengulas mengenai projek pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) pula, Datuk Seri Ismail memaklumkan satu badan khusus akan ditubuhkan sebagai penyelaras.

Projek tersebut akan melibatkan kerjasama 15 buah agensi selain KPKT.


(FOTO BERNAMA)

 

Media Baharu