fb fb fb fb fb

KPKM, NACCOL diberi hingga 20 Mac, muktamad isu harga beras - PM

Anwar Ibrahim

KUALA SELANGOR, 25 Februari- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diberi tempoh sehingga 20 Mac depan untuk memuktamadkan isu harga beras.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penetapan harga barangan asas itu memerlukan sedikit masa untuk dimuktamadkan bagi mengimbangi keperluan, sekali gus mengurangkan beban kepada pengguna dan pesawah.

"Bila main soal dasar, nak tetapkan dasar, harga padi umpamanya, itu kita harus sabar sekejap, ikut proses sebelum kita muktamadkan.

"Saya sudah bercakap sendiri dengan pihak BERNAS (Padiberas Nasional Berhad) dalam mesyuarat NACCOL baru-baru ini supaya mencari jalan import beras, manakala pengeluaran tempatan dinaikkan," katanya pada sesi dialog Malaysia MADANI pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kuala Selangor.

Dalam pada itu, program pertanian bersasar di bandar akan diperkenalkan sebagai anjakan kepada pengeluaran hasil pertanian negara.

Ini mengambil contoh kejayaan Singapura yang melaksanakan program berkenaan terutama di kawasan kekurangan tanah di bandar.

Sehubungan itu, KPKM bersama agensi terlibat diberi tempoh sebulan untuk mengemukakan perancangan sesuai bagi perlaksanaan program berkenaan.

"Di samping kita teruskan usaha sedia ada dalam bidang pertanian, kita juga perlu tumpukan kepada pengeluaran pertanian di bandar dengan fokus kepada penglibatan golongan miskin bandar.

"Saya juga minta menteri meneliti perkara ini termasuk menyediakan peruntukan tambahan khas," ujarnya lagi.

SITI AISHAH BINTI MD ISA