fb fb fb fb fb

Malaysia berhak 'kawan' dengan mana-mana negara - PM

Anwar Ibrahim

KUALA SELANGOR, 25 Februari- Keputusan Malaysia memihak kepada mana-mana negara adalah berdasarkan kepentingan untuk rakyat dan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia berhak untuk menentukan dasar luar dan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara sekalipun.

“Kita berkawan dengan semua, dengan Barat, dengan Timur, dengan Amerika Syarikat, dengan China.

"Tetapi jangan mana-mana negara nak arah kita, kamu boleh kawan dengan negara ini, jangan kawan negara itu.

“Negara ini merdeka dan berdaulat dan bebas untuk menentukan dasar dia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penutup Program Madani Rakyat Zon Tengah di sini.

Anwar mengulas laporan dikeluarkan oleh Financial Times yang mendakwa Malaysia cenderung kepada China.

Media yang berpangkalan di London itu melontar soalan menggambar seolah-olah hubungan diplomatik Anwar lebih akrab dengan China berbanding Amerika Syarikat.

“Tadi ada keluar rencana di Financial Times London, dia temubual dengan saya sebab dia kata Anwar sekarang ini nampak mirip sedikit kepada China.

“Saya jawab Malaysia mesti buat keputusan dasar yang mementingkan kepentingan negara dan rakyat Malaysia,” katanya lagi.

SITI AISHAH BINTI MD ISA