fb fb fb fb fb

Industri padi, beras sedang diangkat ke tahap lebih cekap - Mohamad Sabu

Mohamad Sabu

BANGI, 28 Februari- Usaha mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap sedang giat dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, isu padi dan beras tidak boleh bersifat 'berseorangan'.

Ini kerana ia perlu diteliti oleh banyak pihak lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Hal harga beras ini lebih rumit kerana ia bersangkut dengan beras import, beras putih import, beras putih tempatan, beras beriani dan sebagainya.

"(Kesemuanya) perlu kita bincang dengan lebih teliti sebelum pengumuman baharu dibuat.

"NACCOL (Majlis Tindakan Sara Hidup Negara) pun tidak boleh umum dulu (harga beras), ia kena pergi pula kepada Kabinet," katanya kepada pemberita selepas majlis Simposium Peladang Muda 2024 di sini, malam tadi.

Tambahnya, perbincangan dengan petani, pengedar dan penjual perlu dilakukan sebelum sebarang ketetapan mengenai harga beras diumumkan .

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh sehingga 20 Mac depan kepada KPKM dan NACCOL untuk memuktamadkan isu harga beras.

Sementara itu, 500 orang peladang dari seluruh negara hadir dalam Simposium Peladang Muda 2024 yang dianjurkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang.

Mohamad berkata, program berkenaan memberi peluang kepada peladang muda dalam memantapkan pengetahuan dengan bertemu mata bersama pengurusan tertinggi KPKM dan berkolaborasi dalam memantapkan jaringan pertubuhan peladang.

Pada majlis sama, turut disampaikan Anugerah Peladang Muda PINTAR 2024 yang membawa pulang trofi, sijll dan wang tunai RM10,000 bagi mengiktiraf usaha usahawan mengaplikasikan pertanian pintar, penggunaan teknologi dan digitalisasi berteraskan sistem gedung (IoT) serta kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan pengeluaran hasil pertanian.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Azulita Salim, Pengurus Besar dan Pengerusi Ahli Jemaah PP seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN
KPKM, NACCOL diberi hingga 20 Mac, muktamad isu harga beras - PM
PM minta NACCOL adakan mesyuarat setiap minggu, cari solusi isu padi, beras- Syed Abu Hussin

SITI AISHAH MD ISA