KUCHING, 10 Mac- Hospital Pakar KPJ Kuching melancarkan Klinik Pembedahan Saraf dan Tulang Belakang bagi membantu pesakit Parkinson serta gangguan neurologi lain, sekali gus memperluas pilihan rawatan di Sarawak dan Malaysia Timur.
Menurut Pengarah Perubatan KPJ Kuching, Dr. Mahadhir Alhady Sulaiman, pelancaran klinik itu susulan kejayaan dua prosedur Deep Brain Stimulation (DBS) yang pertama kali dijalankan di hospital pakar swasta baru-baru ini.
Prosedur DBS melibatkan penanaman elektrod dalam otak bagi menghantar impuls elektrik ke kawasan tertentu dan digunakan untuk merawat penyakit Parkinson, dystonia, serta gegaran esensial.
“Ini merupakan kali pertama DBS dilakukan di hospital swasta, menjadikan KPJ Kuching sebagai pusat perubatan pertama di Malaysia Timur yang memiliki keupayaan melaksanakan pembedahan ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Klinik berkenaan di KPJ Kuching, hari ini.
Klinik berkenaan dikendalikan oleh Pakar Bedah Saraf, Dr. Lau Bik Liang, yang sebelum ini bertugas di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Beliau berkata, klinik itu bukan sahaja menyokong perkhidmatan sedia ada di HUS, malah memberi alternatif kepada pesakit, terutama mereka yang mempunyai perlindungan insurans atau memilih rawatan di sektor swasta.
“Ramai yang kurang memahami bidang bedah saraf. Ia bukan sekadar berkaitan otak, tetapi turut meliputi saraf dan tulang belakang. Jika anda mengalami masalah di kawasan ini, segera dapatkan khidmat pakar,” katanya.