KUCHING, 10 Mac- Komuniti Orang Ulu diberi kepercayaan menjadi tuan rumah bagi Sambutan Gawai Dayak peringkat negeri Sarawak tahun 2025.
Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas di Kuching, hari ini.
Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur bagi sambutan tersebut.
Menurut Datuk Douglas, Datuk Gerawat akan menubuhkan jawatankuasa serta menetapkan tarikh dan pengisian program bagi memastikan kelancaran sambutan itu nanti.
“Ini peluang terbaik untuk komuniti Orang Ulu menonjolkan keunikan budaya dan tradisi mereka, sama seperti kejayaan komuniti Bidayuh yang menjadi tuan rumah tahun lalu,” katanya.
Beliau turut memuji penganjuran tahun lepas yang disifatkan bertambah baik dengan kerjasama erat antara komuniti Bidayuh, Iban dan Orang Ulu.
“Saya berharap kerjasama ini diteruskan demi memastikan sambutan Gawai Dayak tahun depan lebih meriah dan bermakna,” tambahnya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur 2024, memaklumkan lima acara utama telah berjaya dilaksanakan tahun lalu.
Acara tersebut merangkumi Karnival Gawai Dayak, Perarakan Gawai Dayak, Malam Gala Gawai Dayak, serta penerbitan e-Buku dan Buku Meja Kopi berkaitan sambutan Gawai Dayak 2024.