KUALA LUMPUR, 10 Mac-Kementerian Pengangkutan (MOT) komited memperkasakan ekosistem pengangkutan hijau dan pintar menerusi Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 (DPN 2030), kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Sejajar usaha itu, MOT memperhebat kerjasama dengan pemain industri automotif bagi mempercepatkan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV), hibrid, kenderaan cekap tenaga (EEV), serta kenderaan pemanduan autonomi (AV).
"Bagi penggunaan kenderaan berteknologi pintar seperti kenderaan AV, MOT dengan kerjasama pemain industri automotif telah melaksanakan siri pengujian kenderaan AV berpandukan Garis Panduan Pengujian Kenderaan Pemanduan Autonomi (AV) di Jalan Raya, yang dibangunkan oleh MOT dan Futurise.
"Melalui pelaksanaan ujian ini, penemuan teknikal, hasil pengujian dan pandangan pemegang taruh akan dikaji dengan teliti", katanya demikian di sini.
Tambahnya, hasil daripada pengujian tersebut, MOT telah mewartakan pindaan terbaharu pada tahun ini di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Pindaan tersebut memasukkan aspek teknikal berkaitan pembinaan dan penggunaan AV, EV, dan EEV bagi memastikan perundangan negara selari dengan perkembangan teknologi.
Dalam pada itu, jelasnya sistem kereta api tanpa pemandu di Lembah Klang sudah mula diadaptasi sejak 1998 menerusi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, diikuti MRT Laluan Kajang dan Putrajaya.
Pengoperasian tren itu dikawal sepenuhnya melalui sistem automatik di Pusat kawalan operasi .