TENOM, 10 Mac- Sebanyak 80 peratus bekalan air bersih di Tenom terjejas susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Kampung Tipoh-Pengalat-Jawa Sumbiling yang memutuskan saluran paip dari Loji Air Senagang.
Menurut Pegawai Daerah Tenom merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Mas Syazwan Masood, gangguan itu bertambah serius apabila Loji Air Tenom masih ditenggelami banjir.
Buat sementara waktu, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tenom bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Majlis Daerah Tenom (MDT) mengagihkan bekalan air menggunakan lori tangki. Bantuan air minuman botol juga dihantar menggunakan bot dengan kerjasama pemimpin setempat.
Sementara itu, jalan utama menghubungkan Mukim Lagud Seberang dan Mukim Saga yang melibatkan 14 kampung turut terputus apabila laluan di Kampung Makalalani, Binsilon, dan Seri Menanti dinaiki air ke paras bahaya.
Dua sekolah turut terjejas akibat banjir, iaitu SK Kalang Kanar dan SK Ladang Sapong.