KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat (AS) ke-13 menyaksikan pemeteraian 'Kuala Lumpur Accords' antara Kemboja dan Thailand; satu kejayaan penting yang mencerminkan iltizam politik tinggi kedua-dua negara.
Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata Malaysia menghargai peranan signifikan Presiden AS, Donald Trump dalam memudah cara pelan damai bersejarah itu.
Malaysia turut menyambut baik pelan komprehensif yang dikemukakan Presiden AS itu bagi menamatkan perang di Gaza, melalui diplomasi dan tekad kepimpinan, keamanan yang adil serta berkekalan dapat direalisasikan.
"Hubungan antara ASEAN dan AS yang berteraskan aspirasi bersama untuk keamanan dan kemakmuran kini diperkukuh melalui kerjasama strategik yang semakin menyeluruh dan berpaksikan manfaat bersama.
"Kedua-dua rantau memiliki potensi membuka lembaran baharu perdagangan, pelaburan dan peluang ekonomi yang mampan, memberi limpahan manfaat kepada rakyat di ASEAN dan AS," katanya.