fb fb fb fb fb

KPDNHEP Labuan laksanakan OPS Pantau di bazar Ramadan

(Pengarah Pejabat KPDNHEP Labuan, Junaidah Arbain ditemu bual media selepas membuat tinjauan OPS Pantau)

LABUAN, 6 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan melaksanakan OPS Pantau di bazar Ramadan pulau itu bagi melihat dan memantau harga barang makanan di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Menurut Pengarah Pejabat KPDNHEP Labuan, Junaidah Arbain, KPDNHEP Labuan melaksanakan pemeriksaan serta pemantauan harga dan bekalan barangan setiap hari untuk mengelakkan berlakunya kenaikan harga yang tidak munasabah.

"Tadi kita berkesempatan untuk meninjau dan bertanya kepada peniaga-peniaga mengenai dengan harga yang mereka tawarkan, Alhamdulillah saya tengok di Labuan ini, peniaga meletakkan harga yang munasabah, kita tidak tengok ada berlaku kenaikan harga yang sangat tinggi," kata beliau selepas membuat tinjauan OPS Pantau di Bazar Ramadan Labuan Walk, di sini.


(Pengarah Pejabat KPDNHEP Labuan, Junaidah Arbain melakukan tinjauan OPS Pantau di Bazar Ramadan Labuan Walk)

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP Labuan, Anual Kannari berkata, semua peniaga diwajibkan meletakkan tanda harga bagi setiap barangan yang dijual.

"Untuk para peniaga yang tidak meletakkan tanda harga untuk barang yang dijual bukan sahaja di bazar Ramadan, di mana-mana tempat yang melibatkan penjualan, perlu diletakkan tanda harga, mana-mana peniaga yang tidak meletakkan tanda harga boleh diambil tindakan dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," kata beliau.

OPS Pantau di Bazar Ramadan Labuan Walk kali ini melibatkan melibatkan 15 orang pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Labuan.

Media Baharu