fb fb fb fb fb

KPDNHEP akan siasat aduan kenaikan harga ayam

(Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid ditemu bual media selepas membuat tinjauan di bazar Ramadan Sepang)

SEPANG, 6 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyiasat aduan kenaikan harga ayam di beberapa buah negeri di semenanjung.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, siasatan perlu dijalankan di peringkat penjual, pemborong hingga ke pembekal bagi mengesan punca kenaikan harga yang berlaku.

"Kita ada dua keadaan, keadaan pertama bila kita siasat dia kata dapat bekalan itu dengan harga yang dah mahal, dia dapat harga sepatutnya kita jual dengan harga RM8.90 tapi dia kata dapat harga dalam harga RM 8.60 ke RM 8.70, jadi macam mana dia nak jual dengan harga RM 8.90."

"Kemudian kita akan siasat dari segi pemborong, berapa (harga) dia dapat dari pemborong dan pemborong dapat dari ladang berapa dia dapat, kalau ada peningkatan dan apa yang dia lapor tu tak tepat dengan apa yang kita lihat maka itu menjadi satu kesalahan," kata beliau selepas mengadakan pemeriksaan harga dan bekalan keperluan asas sempena pelaksanaan OPS PANTAU 2022 di bazar Ramadan, di sini.


(Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid membuat tinjauan di bazar Ramadan Sepang, Selangor)

Pada 5 Februari lalu, kerajaan melalui KPDNHEP telah menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram di semenanjung sehingga 5 Jun 2022 bagi menjamin kestabilan harga ayam.

Menurut Rosol, OPS PANTAU 2022 diadakan bagi memastikan pengguna berada dalam keadaan yang selesa dan mudah mendapatkan bekalan makanan serta keperluan harian pada harga yang munasabah semasa bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Media Baharu