fb fb fb fb fb

KPDN umum tiga inisiatif pengurangan kompaun

KUALA LUMPUR, 13 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui agensinya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengumumkan tiga inisiatif pengurangan kompaun.

Inisiatif yang diumumkan Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini, akan dilaksanakan berkuat kuasa serta merta bagi membantu meringankan beban kewangan komuniti korporat.

Inisiatif pertama melibatkan pengurangan kompaun 90% daripada nilai asal ke atas syarikat yang berstatus ‘dissolved’ bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016.

Ia bagi meringankan beban kewangan pengarah dan syarikat yang telah tutup.

SSM menerusi satu kenyataan memaklumklan, inisiatif itu turut melibatkan pengurangan kompaun 90% daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan lazim bawah Akta Syarikat 2016.

Pengurangan kompaun akan diberikan kepada syarikat selepas pematuhan terhadap kegagalan atau kesalahan diambil tindakan oleh pihak syarikat.

Pelaksanaan inisiatif itu dapat membantu komuniti korporat untuk meneruskan perniagaan dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.

Sementara itu, SSM juga akan meneruskan pengurangan kompaun 90% daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan bawah Akta Syarikat 1965.

Inisiatif tersebut bagi memastikan data yang disimpan berhubung entiti syarikat dalam pendaftaran SSM adalah terkini dan juga bagi mendorong syarikat mematuhi amalan tadbir urus terbaik khususnya serah simpan Penyata Kewangan serta maklumat terkini di SSM.


(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub)

Media Baharu