GUA MUSANG, 29 Julai -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukkan lebih RM3.3 juta bagi Program Pengedaran Barang Perlu di dua kawasan penempatan Orang Asli, iaitu di Pos Brooke dan Kuala Betis.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, program selama tiga tahun itu Mei tahun ini hingga Mei 2027 itu melibatkan enam barangan keperluan asas yang dijual pada harga yang sama seperti di kawasan bandar.
Enam jenis barangan asas iaitu beras putih, gula putih, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG) dan petrol RON95.
"Kita selaraskan harga supaya sama dengan apa yang dijual di bandar atau tempat lain. Ini harga yang kerajaan tawar supaya barang-barang dinikmati oleh penduduk pada harga sama. Kalau sebelum ini jual dengan harga kerana kos pengangkutan. Tetapi program ini kerajaan telah beri subsidi kepada pengedar logistik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pengedaran Barang Perlu di Dewan Terbuka Pos Brooke, di sini.
Pada majlis sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin berkata, program itu dijangka memberi manfaat besar kepada lebih 9,000 masyarakat luar bandar di Pos Brooke dan Kuala Betis serta dapat mengurangkan perbezaan harga barangan asas antara kawasan bandar dan luar bandar.
"Saya nampak reaksi penduduk di kawasan luar bandar mereka bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan. Sebelum ini mereka dapat harga jauh lebih tinggi daripada harga siling atau harga ditetapkan kerajaan. Apabila ada program dilancarkan hari ini manfaat dapat kepada rakyat luar bandar. Disenaraikan 23 kedai yang akan beri perkhidmatan barang perlu ini dengan harga yang ditetapkan kerajaan," kata Mohd Syahbuddin.