fb fb fb fb fb

RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 struktur semula undang-undang pelaburan

Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 adalah bagi menstruktur semula kerangka undang-undang negara agar lebih kondusif kepada pelaburan berkualiti dan mesra pasaran antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU itu akan menyediakan satu kerangka perundangan jelas, moden dan berkesan bagi pelaksanaan prosiding insolvensi rentas sempadan di Malaysia, selaras dengan standard amalan terbaik antarabangsa.

"Usaha ini akan memperkukuh keyakinan pelabur terhadap sistem perundangan negara dan menyumbang secara langsung kepada pemantapan daya saing ekonomi Malaysia di peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Ketiadaan kerangka kerja perundangan kukuh sebelum ini menyebabkan kelengahan dalam pelaksanaan mekanisme penyelamat korporat atau prosiding penggulungan syarikat.

Aset syarikat yang terlibat turut berisiko untuk disembunyikan atau dipindah milik kepada pihak yang tidak sepatutnya.

"Perkara ini akan menjejaskan pengumpulan dan penghasilan aset yang optimum bagi manfaat pemiutang-pemiutang, penghutang dan pihak yang berkepentingan.

"Kesannya, keyakinan pelabur asing akan terjejas dan sekaligus menjadi halangan kepada usaha pengukuhan perdagangan Malaysia di persada antarabangsa," katanya lagi.

RUU tersebut digubal sebagai satu akta tersendiri dan menteri bertanggungjawab ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) selaku menteri yang memegang portfolio perundangan, manakala agensi terbabit dengan pengawalseliaan adalah Jabatan Insolvensi Malaysia.

"Secara prinsipnya, RUU ini adalah bersifat tatacara dan akan melengkapi undang-undang insolvensi korporat di Malaysia tanpa mengubah struktur atau prinsip asas undang-undang insolvensi korporat sedia ada.

"Sebahagian besar peruntukan RUU ini adalah berasaskan peruntukan dalam Undang-Undang Model dalam perkara mengenai insolvensi rentas sempadan iaitu Undang-Undang Seragam Mengenai Insolvensi Rentas Sempadan (MLCBI) dengan pengubahsuaian sewajarnya mengambil kira kepentingan awam dan kepentingan negara," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI