fb fb fb fb fb

Anggota komando maut ketika latihan, siasatan dalaman masih dilaksanakan

Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan /Foto Bernama

LENGGONG, 29 Julai - Tentera Darat (TDM) masih menjalankan siasatan dalaman berhubung kematian seorang anggota Rejimen 22 Komando, Grup Gerak Khas (GGK), ketika menjalani latihan Seaghost Siri 1/2025 awal bulan ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan memaklumkan, siasatan awal mendapati kemungkinan insiden berpunca daripada peralatan latihan yang telah lama digunakan.

Jelas beliau, audit terperinci turut dilaksanakan untuk menentukan sama ada ia melibatkan kegagalan peralatan atau kesilapan manusia.

Allahyarham Koperal Mohd Haswansir Julnasir, 30 tahun, dilaporkan hilang semasa menggunakan peralatan Closed Circuit Breathing Apparatus (CCBA) dalam latihan selam di perairan Kuantan pada 3 Julai, sebelum mayatnya ditemukan dua hari kemudian.

Menurut Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain, semua aset dan peralatan digunakan mengikut polisi jangka hayat serta jadual penyelenggaraan yang ditetapkan, termasuk CCBA.

Tambah beliau, TDM tidak menafikan berdepan kekangan aset legasi dan bajet, namun tetap mengutamakan penyelenggaraan menyeluruh bagi memastikan kesiagaan pasukan kekal berada pada tahap tertinggi.##

ASHRIQ FAHMY AHMAD