fb fb fb fb fb

KPDN perkukuh SOP siasatan isu beras campuran

FOTO HIASAN

PUTRAJAYA, 10 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) siasatan berkaitan isu percampuran beras putih import (BPI) dan beras putih tempatan (BPT).

Menurut Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, SOP baharu itu meliputi aspek pengurusan sampel beras dan kebolehterimaan barang bukti di mahkamah bagi memastikan ketelusan dalam proses siasatan.

KPDN turut menguatkuasakan Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 bagi mengenal pasti pihak yang membuat perihal dagangan palsu berkaitan kandungan, jenis, dan pelabelan beras.

"Ini termasuk kesalahan menukar bungkusan atau label beras yang boleh mengelirukan pengguna," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook, hari ini.

KPDN kini akan merujuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai pihak berwibawa dalam menganalisis sampel beras, memandangkan agensi itu memiliki kepakaran Teknologi Pencapjarian DNA beras.

Selain itu, kerjasama strategik dengan Jabatan Kimia Malaysia turut diperkukuh bagi memastikan penguatkuasaan berjalan lancar.

Langkah ini selari dengan usaha melindungi kepentingan pengguna serta menyokong agenda Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam memperkukuh industri padi dan beras negara.

 

1003 KPDN MARDI KIMIAFOTO FB Armizan Mohd Ali

 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE