fb fb fb fb fb

KPDN pantau rapi harga santan di Melaka, kekal RM15-RM17

Foto Fail

BACHANG, 9 April- Harga santan segar di Melaka ditetapkan pada kadar RM15 hingga RM17 sekilogram.

Jika terdapat peniaga yang menjual lebih mahal daripada harga yang ditetapkan, pengguna boleh membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan notis akan dikeluarkan.

Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata pihaknya memberi jaminan tiada kenaikan harga santan di negeri itu.

"Kita mengadakan libat urus dengan pengusaha-pengusaha dan kita dapati asalnya memang akan naik pada hari itu. Santan antara bekalan yang kurang tetapi apabila kita dilapangan dan kita laksana pemeriksaan serta kita letakkan di bawah harga kawalan, harganya tidak melambung tinggi.

Kita masih kawal malah dimaklumkan ada santan yang lebih murah. Dengan harga lebih murah dan Alhamdulillah, fasa yang kata santan akan naik menjelang Aidilfitri itu telah pun berakhir," kata Dr. Mohd Hazimin kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika turun padang melakukan pemeriksaan Pasca Aidilfitri di Pasar Bachang, Melaka.

Dalam pada itu, tujuh kes melibatkan kesalahan tidak menggunakan penandaan harga khas (merah jambu) dikesan pada Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2025 yang berakhir 7 April lalu.

Selain itu, katanya, sebanyak 25 aduan diterima dan sebanyak 188 pemeriksaan juga telah dijalankan sepanjang tempoh itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM