KUALA LUMPUR, 9 April- Perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit mengalami gangguan berikutan beberapa siri insiden potong dan curi kabel.
Menurut Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), sistem isyarat di Stesen Bandar Tasik Selatan turut mengalami gangguan.
"Sebagai langkah sementara, perkhidmatan tren ulang-alik (shuttle) disediakan bagi membantu pergerakan penumpang. Pihak ERL kini giat melaksanakan kerja-kerja pemulihan bagi memulihkan semula operasi tren.
"Pengguna yang terjejas boleh mengemukakan permohonan bayaran balik kepada pihak ERL," menurut kenyataan itu.
Kejadian potong dan curi kabel pertama dilaporkan berlaku di Kilometer 48.5, antara Stesen Salak Tinggi dan KLIA Terminal 1, kira-kira pukul 6.20 pagi semalam.
Insiden kedua pula berlaku pada hari yang sama di Kilometer 43.1, antara Putrajaya dan Cyberjaya serta Stesen Salak Tinggi.
Kira-kira pukul 4.47 pagi tadi, kejadian ketiga berlaku di Kilometer 47.2, antara Stesen Salak Tinggi dan KLIA Terminal 1.
Ia disusuli insiden keempat sekitar pukul 5.20 pagi di Kilometer 40.6, antara Stesen Salak Tinggi dan Putrajaya serta Cyberjaya.