KPDN KL jamin bekalan mencukupi, orang ramai diminta tidak panik

Gambar fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 April – Orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik susulan perkembangan konflik di Asia Barat kerana bekalan barangan asas mencukupi.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN WPKL memantau dan menyelia bekalan serta harga di 11 kawasan Parlimen dengan 168 pegawai penguat kuasa dan pemantau harga.
  • Sesi libat urus dijalankan bersama syarikat pengeluar minyak bagi memastikan bekalan petrol dan diesel di stesen termasuk lebuh raya dan pusat bandar.
  • Pemantauan barangan kawalan diperkukuh melalui Ops Tiris 4.0, orang ramai dinasihat tidak menyebar berita tidak sahih dan salur aduan melalui portal atau talian.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur berkata pihaknya akan sentiasa memantau serta menyelia harga barang sepanjang tempoh konflik ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata pemantauan bekalan dilaksanakan secara menyeluruh di 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan.

“KPDN KL memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan asas harian adalah mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal.

“Beberapa Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan Pemborong Terpilih Daerah (DDW) turut dilantik bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa tersedia dan mencukupi di pasaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, sesi libat urus turut dilaksanakan dengan syarikat pengeluar minyak bagi memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi di semua stesen minyak termasuk di laluan utama seperti lebuh raya dan pusat bandar.

Tambah beliau, pemantauan terhadap barangan kawalan diperkukuhkan melalui pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu bagi mengelakkan sebarang aktiviti penyelewengan.

Mohd Shahran berkata seramai 168 pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga digerakkan bagi memantau bekalan serta harga barangan di seluruh ibu negara secara berterusan.

Pegawai penguat kuasa memantau harga dan bekalan di ibu negara/Foto KPDN KL

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan awam,” tambahnya.

Sebarang aduan boleh disalurkan kepada Kementerian melalui portal e-aduan.kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, aplikasi Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan di 03-8882 6088 atau 03-8882 6245 serta WhatsApp 019-848 8000.