TUMPAT, 6 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan memperkenalkan Program Jualan Rahmah Banjir Khas bagi membantu meringankan beban penduduk yang terkesan akibat bencana itu ketika ini.
Program tersebut melibatkan tujuh lokasi dengan lima daripadanya telah dilaksanakan di Rantau Panjang, Pasir Mas, Kuala Krai, Pasir Puteh dan Bachok.
Pengarah KPDN negeri, Azman Ismail berkata lokasi program dipilih berhampiran kawasan pusat pemindahan sementara (PPS) dan kawasan terjejas banjir di seluruh 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri terbabit.
"Memandangkan kita sudah boleh masuk ke kawasan ini (Tumpat), kita melaksanakan Program Jualan Rahmah Banjir Khas. Saya rasa ia sedikit sebanyak dapat membantu, terutama kepada mereka yang berpindah ke PPS.
"(Ini kerana) apabila mereka pulang, mereka memerlukan bekalan makanan selain untuk membersihkan rumah. Mereka juga perlu mendapatkan bekalan makanan tambahan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gelombang banjir yang akan datang," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Banjir di PPS Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat yang disempurnakan oleh Pengarah Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) KPDN, Muhamad Hanif Asa’ari.
Mengulas lanjut, Azman berkata pihak KPDN Kelantan akan memastikan bekalan asas mencukupi bagi menghadapi gelombang banjir seterusnya.
Beliau turut memaklumkan kes rampasan barangan penyeludupan di sempadan semasa musim banjir menunjukkan penurunan dengan hanya satu kes dicatatkan melibatkan penyeludupan petrol di Bukit Bunga, Jeli, baru-baru ini.