KPDN Kedah serbu kilang memproses makanan guna logo halal palsu

SUNGAI PETANI, 20 Oktober –  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah melakukan serbuan ke atas sebuah kilang memproses makanan yang didapati menggunakan logo halal palsu di Bedong, di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan kilang memproses mi, kuetiau, laksa dan tempe kerana menggunakan logo halal palsu.
  • Semua produk bernilai anggaran RM87,057 disita untuk siasatan lanjut.
  • Operasi bersepadu melibatkan KPDN, KKM, JHEAIK dan polis menguatkuasakan Perintah Perihal Dagangan 2011.

Kilang berkenaan memproses produk mi, kuetiau, laksa dan tempe dalam pelbagai saiz dan dipercayai diedarkan ke pasaran di seluruh negara.

Pengarah KPDN Negeri, Kedah Muhammad Nizam Jamaludin memaklumkan, kesemua produk disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM87,057.

Serbuan pada 11:00 pagi itu dilakukan menerusi operasi bersepadu yang turut melibatkan Kementerian Kesihatan, (KKM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) serta pihak polis.

Ia merangkumi pemeriksaan perakuan dan penandaan halal yang digunakan oleh premis, status pensijilan halal, serta penguatkuasaan bawah akta KPDN.

Kes disiasat bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.