(FOTO KPDN KEDAH)
KUBANG PASU, 25 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah memberi jaminan bekalan gula di daerah Kubang Pasu mencukupi dan pengguna tidak perlu panik dengan isu membabitkan komoditi tersebut.
Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, KPDN Kubang Pasu telah melakukan pemeriksaan terhadap premis pemborong dan peruncit rentetan daripada beberapa aduan rakyat tempatan yang menyatakan kesukaran pengguna untuk mendapatkan bekalan gula di sekitar kawasan Kubang Pasu.
Affendi berkata, hasil tinjauan dan pemeriksaan di premis sekitar mendapati stok gula masih banyak dan mencukupi.
KPDN juga katanya telah mengadakan sesi libat urus dengan pemborong utama gula bagi membincangkan dan mencari langkah untuk mengelakkan kejadian kekurangan bekalan gula dalam pasaran berlaku.
Pengguna dinasihat supaya tidak membuat pembelian panik sehingga boleh menimbulkan kacau ganggu terhadap bekalan gula di negeri ini.
Beliau turut mengingatkan peniaga atau pemborong supaya tidak menyorokkan gula dan menaikkan harga gula sesuka hati yang membolehkan tindakan tegas dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, kerjasama pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan itu melalui talian bebas tol 1-800-886-800, hubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03 8882 6088 / 6245, aduan melalui aplikasi WhatsApp 019-279 4317 atau secara atas talian http://eaduan.kpdn.gov.my .
(FOTO KPDN KEDAH)