(Lucky Hakim mengakui acara sesat berkenaan disertai ramai warganegara asing
termasuk dari Malaysia/YouTube tvOneNews)
PUNCAK ALAM, 25 Mei- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sedia bekerjasama dengan pihak Indonesia bagi mengenal pasti pelajar atau rakyat dari negara ini yang terlibat bersama kultus ajaran sesat di sebuah sekolah pondok atau pesantren di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya sentiasa memandang serius isu ajaran sesat dan sedia bekerjasama dengan polis bagi memantau pergerakan ajaran berkenaan agar tidak terus menular, sama ada dari dalam atau luar negara.
"Banyak ajaran sesat yang kita kenal pasti dan kita pantau bukan sahaja oleh MAIS, tetapi oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak-pihak lain.
"MAIS sendiri ada tempat pemulihan, Baitul Iman di Ulu Yam. Kita akan panggil mereka ini dan kita perbetulkan supaya mereka tidak terus sesat," katanya pada Program Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat Peringkat Kebangsaan 2023 di Dewan Berlian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, di sini.
Baru-baru ini, tular di media sosial, sebuah pusat pengajian pondok di Jawa Barat, Indonesia yang melaksanakan solat berjarak seperti semasa pandemik COVID-19, tetapi bercampur antara lelaki dan wanita dalam satu saf.
Pengasas pondok tersebut turut meminta para pengikut menyanyikan lagu dan mengucapkan salam dalam bahasa Hebrew (Yahudi), selain tular khutbah solat Jumaat yang dilakukan di pusat pengajian berkenaan yang disampaikan oleh seorang wanita.
Lebih mengejutkan, seorang selebriti dari Indonesia, Lucky Hakim mendedahkan terdapat rakyat Malaysia yang hadir dalam majlis berkenaan.
(MAIS)