fb fb fb fb fb

Gula putih bertapis jernih tidak ganti bekalan gula putih sedia ada - Salahuddin

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 25 Mei - Kerajaan meluluskan permohonan dua syarikat pengeluar gula tempatan untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih dalam pasaran bermula hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub bagaimanapun menegaskan pengeluaran gula tersebut tidak boleh menggantikan bekalan gula putih bertapis sedia ada.

(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub)

"Dengan adanya gula bertapis jernih ini tidak mengganggu ataupun tidak menjadi gantian kepada bekalan gula kasar dan halus yang saya sifatkan sebagai gula rakyat yang mesti berada di pasaran minimum 42,000 tan sebulan," katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPDN, di sini.

Tambah Salahuddin, harga gula premium yang dikeluarkan oleh MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) tidak dikawal, sebaliknya akan ditentukan oleh pasaran.

"Harga itu ditetapkan mereka tapi jangan melampau sebab kalau terlalu melampau maka Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan ambil tindakan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan melanjutkan Op Manis selama sebulan bagi memastikan tidak berlaku sebarang manipulasi atau kekurangan bekalan gula di pasaran.

Media Baharu