(Datuk Seri Salahuddin Ayub ditemu bual media semasa menghadiri Rumah Terbuka Ahli Parlimen
Pulai, di Johor Bahru hari ini/ Foto BERNAMA)
JOHOR BAHRU, 20 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bahawa bekalan gula dalam negara adalah mencukupi dan harga gula juga masih kekal pada kadar yang ditetapkan.
Ia susulan tular maklumat tidak sahih, memaklumkan harga bahan mentah itu akan naik dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata libat urus berterusan KPDN bersama tiga kementerian lain dapat memastikan pelan tindakan berjalan lancar dan membolehkan rakyat membeli gula pada harga terkawal.
Selain itu, jaminan bekalan gula dalam negara juga telah diberikan oleh pihak pengilang, dalam satu mesyuarat khas, semalam.
Isu tersebut timbul selepas harga gula mentah di peringkat dunia meningkat, diikuti harga gas asli.
(Foto fail)
KPDN sebelum ini telah mengambil tindakan segera, menyalurkan bekalan telur di Langkawi, dan Kedah, selepas menerima maklumat bekalan telur berkurangan.
"Itu kes-kes saya anggap berlaku secara terpencil lah, kalau berlaku krisis, contohnya itu akan kita tangani secara pantas, tetapi setakat ini ia tidak sampai pada tahap krisis lagi," kata beliau semasa menghadiri Rumah Terbuka Ahli Parlimen Pulai, di sini hari ini.
KPDN bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri serta Kementerian Ekonomi berganding bahu bagi memastikan keterjaminan bekalan mentah dalam negara.
Kerjasama itu juga berperanan, memastikan kerajaan bertindak lebih awal terhadap kenaikan harga barangan peringkat global.