fb fb fb fb fb

KPDN buat persiapan rapi, sedia laksana SKPS - Fuziah Salleh

Foto Facebook Datuk Dr Fuziah Salleh

SANDAKAN, 27 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuat persiapan rapi serta bersedia melaksanakan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula 30 Sept ini.

Timbalan Menteri KPDN Datuk Dr Fuziah Salleh berkata semua syarikat minyak telah mengesahkan kesiapsiagaan bagi pelaksanaan berkenaan termasuk penyediaan mesin, sistem pembayaran di terminal pam dan kaunter di stesen minyak.

“Bermula 15 hingga 26 September 2025, rekod pendaftaran SKPS merekodkan jumlah kumulatif 5,829 syarikat dengan 13,800 kenderaan di seluruh negara.

“KPDN juga memberi fleksibiliti kepada syarikat untuk menentukan pengagihan kuota berdasarkan penggunaan fleet card,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fuziah berkata KPDN yakin penyasaran semula subsidi petrol itu mampu mengurangkan ketirisan dan penyelewengan di stesen minyak serta mengekang risiko kenaikan harga barangan dan caj perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam yang melampau.

Beliau berkata sebarang penjimatan daripada pengurangan ketirisan itu boleh membantu kerajaan mengukuhkan kedudukan fiskal kewangan negara selain membolehkan subsidi disalurkan kepada perbelanjaan pembangunan.

Sementara itu, KPDN turut membuka kaunter khidmat pelanggan SKPS di semua pejabat negeri dan cawangan mulai 28 Sept ini bagi melicinkan pelaksanaan sistem berkenaan.

Katanya, kaunter tersebut akan beroperasi selama seminggu dengan pegawai KPDN di negeri dan cawangan memastikan orang ramai memahami perbezaan mekanisme serta harga bagi BUDI MADANI Individu95 menggunakan MyKad (RM1.99) dan BUDI MADANI MySubsidi95 @ SKPS yang menggunakan fleet card (RM2.05).

“Sebarang pertanyaan berkaitan BUDI MADANI Individu95 yang menggunakan MyKad boleh diajukan kepada Kementerian Kewangan (MOF) melalui pautan https://www.budi95.gov.my/contact-us,” katanya.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN