KOTA BHARU, 27 September - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan menyemak semula kadar elaun perbatuan penjawat awam yang tidak pernah dikaji sejak 2008.
Langkah itu penting bagi menyesuaikan kadar semasa dengan pelaksanaan harga subsidi petrol RON95, bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berkata, penjawat awam yang perlu bertugas di luar kawasan secara aktif berdepan risiko menanggung kos lebih tinggi.
Ini sekiranya penggunaan petrol melebihi kelayakan 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter.
"Ada kebimbangan apabila kami menggunakan kenderaan secara aktif untuk menjalankan tugas-tugas di luar kawasan.
"Sudah tentu keperluan dari segi penggunaan liter minyak akan meningkat. Akhirnya akan memberi kesan kepada kami dalam bentuk perbelanjaan yang perlu ditingkatkan," katanya.
Beliau ditemui media selepas merasmikan Persidangan Perwakilanan Tritahunan CUEPACS Negeri Kelantan Bagi Sesi 2025 – 2028 di Kota Bharu.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Adnan berkata CUEPACS semakan elaun perbatuan adalah antara langkah segera yang perlu dipertimbang kerajaan, selain mengkaji semula keberkesanan kelayakan subsidi petrol sedia ada.
Menerusi inisiatif BUDI95, rakyat Malaysia akan menerima harga siling kelayakan bulanan RON95 sebanyak 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter.