fb fb fb fb fb

Inisiatif BUDI95 untuk polis, ATM berjalan lancar - Saifuddin

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kanan) menyantuni anggota polis ketika hadir menyaksikan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menikmati subsidi petrol RON95 menerusi Program Budi MADANI RON95 (Budi 95) di Daerah Sandakan, hari ini / BERNAMA

SANDAKAN, 27 September - Hari pertama pelaksanaan BUDI MADANI RON95 membabitkan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjalan lancar.

Program berkenaan disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Stesen Minyak Jalan Bokara, Sandakan.

Dalam sidang medianya, beliau berkata pelaksanaan itu mendahulukan dua agensi keselamatan bagi menguji sistem transaksi serta keupayaan pelayan data dan stesen minyak.

Jelasnya, terdapat lima kaedah pembelian minyak yang disediakan, antaranya menggunakan kad pengenalan di dalam premis perniagaan atau terminal minyak di kawasan pulau.

“Kaedah ini pantas dan lancar. Selain itu, ada tiga lagi kaedah melalui aplikasi termasuk Shattek yang kini digunakan di lebih 1,100 stesen minyak,” katanya.

Tambah Datuk Seri Saifuddin, bermula esok pelaksanaan akan diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) melibatkan lapan juta penerima, sebelum berkembang kepada 18 hingga 20 juta penerima menjelang 30 September ini.

Usaha itu jelasnya, menyokong matlamat kerajaan khususnya Kementerian Kewangan untuk menambah baik penjimatan subsidi RON95 termasuk mengekang penggunaan oleh warga asing.

Bagi KDN pula, MyKad menjadi komponen penting dalam pengesahan warganegara. Statistik merekodkan purata 30,000 penggantian kad sebulan daripada 24 juta pemegang MyKad. Selepas pengumuman BUDI95, sebanyak 13,632 penggantian cip direkodkan hanya dalam tempoh lima hari sejak 24 September lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE