NIBONG TEBAL, 27 September - Perbincangan terperinci dengan pihak berkaitan bagi menentukan format pelaksanaan untuk menjadikan pelajar sekolah sebagai pemegang taruh utama dalam usaha menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Buli boleh dilaksanakan bersama.
Menteri Pendidikan (KPM), Fadhlina Sidek berkata, kerjasama ini penting bagi memastikan hasil daripada sesi libat urus dapat memberikan hasil yang menyeluruh.
"Kita tiada masalah dengan pandangan dan cadangan itu, saya rasa ia proses yang biasa juga kita buat di peringkat KPM, mendapatkan pandangan daripada pelajar-pelajar kita.
"Jadi, dalam isu ini, saya ingat pemegang taruh utama juga adalah kanak-kanak, para pelajar kita dan saya ingat perkara itu kita boleh bincanglah bersama bagaimana format itu, ia supaya natijah daripada town hall itu dapat kita buat satu pengumuman bahawa anak-anak jugalah pemegang taruh utama dalam isu ini", katanya pada program Temu Rakyat kawasan parlimennya di Dewan Serbaguna Sungai Bakap di sini, hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, akan memperluas sesi libat urus khas membabitkan murid sekolah rendah, menengah sehingga pelajar peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berhubung penggubalan RUU Anti Buli yang dijangka dibentangkan di Kabinet pada Disember ini.
Dalam perkembangan lain, KPM telah mengambil tindakan berhubung seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang didakwa mengalami tekanan emosi serius termasuk menunjukkan kecenderungan membunuh diri selepas berulang kali menjadi mangsa buli di sebuah sekolah menengah di Hulu Langat, Selangor.
"Sudah kita dalam tindakan kita, kita sedang siasat perkara ini kerana aduan itu memang bagi saya harus diambil tindakan yang segera", katanya.