PAPAR, 24 Ogos - Rayuan pengusaha stesen minyak agar kerajaan menyemak semula kadar yang ditetapkan bawah Mekanisma Harga Automatik (APM), khususnya menjelang pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 akan diberi perhatian serius.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya sedang melaksanakan sesi libat urus bersama pemegang taruh, persatuan dan syarikat minyak, sebelum memanjangkan syor serta cadangan rasmi kepada Kementerian Kewangan.
"Pertama, kita perlu jelas dari segi tanggungjawab KPDN dalam mengawal selia sektor peruncitan produk-produk petroleum ini yang terkait dengan syarikat dan juga stesen-stesen minyak, manakala dari segi dasar termasuklah harga runcit dan juga kadar APM tersebut ditentukan oleh Kementerian Kewangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan program Kempen Jalur Gemilang Kluster Industri di sini, bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Armizan yakin selepas dasar penyasaran subsidi RON95 dimuktamadkan, Kementerian Kewangan akan mempertimbang kelulusan semakan kadar APM bagi menjamin kemampanan perniagaan stesen minyak dan syarikat minyak, sekali gus memastikan kestabilan bekalan minyak kepada rakyat.